SOLAT AIDILFITRI DAN AIDILADHA
Disyari’atkan bagi seluruh
umat Islam untuk mengerjakan solat sebanyak dua rakaat apabila tibanya dua hari
perayaan iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.
v HUKUM
SOLAT HARI RAYA
Ulamak
berbeza pendapat tentang hukum solat Aidilfitri dan Aidiladha. Bagi kebanyakan
umat Islam di Malaysiamereka
berpegang kepada pendapat bahawa hukum solat tersebut adalah sunat mu’akkadah (yang dituntut). Ulamak yang berpegang
kepada pendapat ini berpandangan bahawa dengan wujudnya hadis-hadis yang
menyatakan solat yang hukumnya wajib hanyalah solat lima waktu membuktikan solat pada Hari Raya
tidak termasuk di dalam kumpulan solat yang wajib. Antara hadis yang dijadikan
pegangan mereka adalah sabda Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ كَتَبَهُنَّ
اللَّهُ عَلَى الْعِبَادِ مَنْ جَاءَ بِهِنَّ لَمْ يُضَيِّعْ مِنْهُنَّ شَيْئًا
اسْتِخْفَافًا بِحَقِّهِنَّ
كَانَ لَهُ عِنْدَ اللَّهِ عَهْدٌ
أَنْ يُدْخِلَهُ الْجَنَّةَ.
Maksudnya:
Selain dari hadis di atas mereka juga berhujah dengan riwayat daripada Thalhah
bin ‘Ubaidillah, dia berkata:
جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ أَهْلِ نَجْدٍ ثَائِرَ الرَّأْسِ يُسْمَعُ
دَوِيُّ صَوْتِهِ
وَلاَ يُفْقَهُ مَا يَقُولُ حَتَّى
دَنَا فَإِذَا هُوَ يَسْأَلُ عَنْ الْإِسْلاَمِ.
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ:
خَمْسُ صَلَوَاتٍ فِي الْيَوْمِ
وَاللَّيْلَةِ.
فَقَالَ: هَلْ عَلَيَّ غَيْرُهَا.
قَالَ لاَ إِلاَّ أَنْ تَطَوَّعَ.
Seorang
lelaki Nejd datang kepada Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam dengan kepala penuh debu. Kami mendengar suaranya
tetapi tidak mengerti apa yang diucapkannya sehingga dia mendekatkan diri
kepada Rasulullah. Kemudian dia bertanyakan perihal Islam. Maka Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Solat Lima waktu dalam sehari semalam.
Kemudian dia kembali bertanya: Apakah ada
lagi selain itu?
Rasulullah pun menjawab: Tidak ada lagi
kecuali jika anda suka mengerjakan solat sunat. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Imaan, no: 46.
Bagi ulamak yang berpendapat solat pada Hari Raya itu fardu ‘ain atau wajib, mereka melihatkan
kesungguhan Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam di dalam
menganjurkan para sahabat untuk
mengerjakannya sebagai bukti kewajipannya. Malah baginda sendiri tidak pernah
gagal untuk mengerjakan solat Hari Raya. Bahkan baginda memerintahkan para
wanita yang sedang haid untuk turut serta menghadirkan diri di musolla hanya untuk menyaksikan upacara solat
Hari Raya tersebut. Tambahan pula bagi wanita yang tidak memiliki pakaian yang
sempurna untuk menutup aurat telah diperintahkan untuk dipinjamkan pakaian
kepada mereka hanya semata-mata untuk turut serta di musolla.
Ummu ‘Athiyah radhiallahu’
anha telah berkata:
أُمِرْنَا أَنْ نَخْرُجَ
فَنُخْرِجَ الْحُيَّضَ وَالْعَوَاتِقَ وَذَوَاتِ الْخُدُورِ. قَالَ ابْنُ عَوْنٍ:
أَوْ الْعَوَاتِقَذَوَاتِ الْخُدُورِ,
فَأَمَّا الْحُيَّضُ فَيَشْهَدْنَ
جَمَاعَةَ الْمُسْلِمِينَ وَدَعْوَتَهُمْ وَيَعْتَزِلْنَ مُصَلَّاهُمْ.
Maksudnya:
Kami
telah diperintahkan (oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) untuk keluar, maka
kami memerintahkan wanita-wanita yang sedang haid, para gadis dan wanita-wanita
pingitan untuk keluar. Ibnu ‘Aun berkata: “atau wanita-wanita pingitan,” dan
wanita-wanita yang haid diperintahkan (Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam) agar
menyaksikan jamaah kaum muslimin dan dakwah mereka serta
menjauhi tempat solat. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 981.
Bagi wanita
yang tidak memiliki pakaian sempurna untuk bersolat Hari Raya, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
لِتُلْبِسْهَا
صَاحِبَتُهَا مِنْ جِلْبَابِهَا فَلْيَشْهَدْنَ الْخَيْرَ وَدَعْوَةَ
الْمُؤْمِنِينَ.
Maksudnya:
(Jika
dia tidak mempunyai jilbab) hendaklah temannya meminjamkan jilbabnya, sehingga
dia dapat menyaksikan kebaikan dan dakwah orang-orang mukmin. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 980.
Pandangan
akan wajibnya solat Hari Raya ini diperkuatkan lagi dengan hakikat bahawa solat
Hari Raya ini dapat menggugurkan kewajipan solat Jumaat jika keduanya terjadi
pada hari yang sama. Hanya sesuatu yang wajib dapat mengugurkan kewajipan yang
lain. Dalil yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat gugur sekiranya ianya
serentak dengan Hari Raya adalah:
عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ
الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ
زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ.
قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ.
قَالَ: نَعَمْ.
قَالَ:فَكَيْفَ صَنَعَ."
قَالَ: "صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ.
فَقَالَ: مَنْ شَاءَ أَنْ
يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ.
Maksudnya:
Dari
Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, dia berkata: Aku pernah menyaksikan Mu’awiyah bin
Abi Sufyan yang sedang bertanya kepada Zaid bin Arqam. Dia bertanya: Apakah
engkau menyaksikan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menghadiri dua Hari
Raya (Hari Raya dan hari Jumaat) yang berkumpul dalam satu hari? Dia menjawab:
Ya. Mu’awiyah bertanya: Lalu apa yang baginda kerjakan? Dia menjawab: Baginda
mengerjakan solat Hari Raya, kemudian baginda memberikan keringanan dalam hal
(mengerjakan) solat Jumaat dan bersabda: Barangsiapa yang ingin solat (Jumaat)
maka hendaklah dia solat. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 904.
Syaikh
al-Islam Ibnu Taymiyyah rahimahullah di dalam Majmu’ Fatawa (jilid 23, ms. 161) berkata:
… oleh kerana itu, kami mentarjih (menguatkan) bahawa solat ‘Ied itu wajib bagi setiap individu muslim,
sebagaimana pendapat Abu Hanifah dan lain-lainnya. Dan ini merupakan salah satu
pendapat al-Syafi’i, dan ia merupakan salah satu dari dua pendapat di dalam
mazhab Ahmad.
Adapun pendapat mereka yang menyatakan tidak wajib maka ia benar-benar
jauh (dari kebenaran), kerana ia termasuk salah satu syi’ar agama Islam yang paling agung. Dan
orang-orang yang berkumpul untuk mengerjakannya lebih banyak dari solat Jumaat.
Di dalamnya disyari’atkan bacaan takbir. Sedangkan pendapat orang yang
menyatakan bahawa solat ‘Ied merupakan fardu kifayah, sama sekali
tidak kuat… - Dinukil dari kitab Ahkaam al-‘Iedain fis Sunnah
al-Muthaharah (Edisi
terjemahan dengan tajuk Meneladani
Rasulullah S.a.w. Dalam Berhari Raya) ditulis
oleh Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 47-48.
Syaikh
Kamal bin al-Sayyid Salim pula berkata:
Pendapat
yang kuat adalah pendapat pertama (iaitu hukumnya wajib), yang berdasarkan
kepada dalil-dalil di atas. Sedangkan pendapat yang menyatakan bahawa solat
Hari Raya hukumnya sunatmu’akkadah adalah
pendapat yang lemah, kerana hadis seorang Badwi tidak boleh dijadikan dalil, ia
hanya menyebut solat lima waktu untuk menguatkan kewajipannya secara
terus-menerus pada setiap siang dan malam harinya. Sedangkan solat-solat yang
lain wajib dilakukan hanya pada waktu-waktu tertentu dan jarang. – rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid
Salim bertajuk Shahih Fiqh
as-Sunnah wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 924.
Apa pun jua
pendapat yang dipegang sama ada wajib mahupun sunat mu’akkadah, ketahuilah bahawa
bagindashallallahu ‘alaihi wasallam amat
menitik-beratkan agar kesemua umat Islam memenuhi musolla termasuk kaum wanita sebagaimana yang
tercatat di dalam hadis-hadis di atas. Ini berbeza dengan amalan kebanyakan
umat Islam di Malaysia yang mana kaum wanita hanya ditinggalkan di rumah untuk
menyiapkan apa-apa persediaan yang diperlukan di rumah sempena budaya rumah
terbuka pada hari Lebaran. Budaya sedemikian rupa perlu dikikis. Berusahalah
untuk membawa seluruh isi keluarga untuk menghadirkan diri bagi mengerjakan
solat Hari Raya. Setelah selesai solat Hari Raya boleh teruskan apa jua agenda
yang berupaya menggembirakan keluarga anda asalkan tidak bertentangan dengan syari’at.
v TEMPAT
PERLAKSANAAN SOLAT HARI RAYA ADALAH DI MUSOLLA
Mengerjakan
solat Hari Raya di musolla merupakan satu amalan yang hampir
tidak dilakukan di Malaysia
melainkan beberapa kelompok kecil manusia yang benar-benar kuat berpegang
kepada sunnah Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam. Apakah itu musolla dan apakah perbezaannya dengan masjid?
Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullahberkata:
Adapun perbezaan di antara musolla dan masjid adalah bahawa musolla berada di tempat terbuka (seperti
padang-pen) sehingga khatib dapat melihat semua hadirin. Sedangkan masjid
berada di dalam sebuah tempat (bangunan-pen) yang tertutup, sehingga terkadang
seorang khatib hanya dapat melihat sebahagian sahaja para hadirin. Solat Hari
Raya disunnahkan untuk dilakukan di musolla,
dan tidak dilakukan di masjid kecuali apabila di dalam keadaan darurat (seperti
hujan, angin kencang dan lainnya-pen). - Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms.282.
Dalil yang
menunjukkan disunnahkan untuk mengerjakan solat Hari Raya di musolla adalah sebuah hadis daripada Abu Sa’id
al-Khudri, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى
الْمُصَلَّى.
فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ
الصَّلاَةُ.
Maksudnya:
Pada
hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar
menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.
Ketahuilah
bahawa solat di Masjid Nabawi itu adalah seribu kali lebih baik dari bersolat
di masjid-masjid lain. Ini sebagaimana sabda baginda shallallahu ‘alaihi wasallam:
صَلاَةٌ
فِي مَسْجِدِي هَذَا خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ صَلاَةٍ فِيمَا سِوَاهُ إِلاَّ
الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ.
Maksudnya:
Solat
di masjidku ini (iaitu Masjid Nabawi) adalah lebih baik dari seribu kali solat
di masjid lainnya kecuali Masjidil Haram (di Mekah al-Mukarramah). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jamaah, no: 1190.
Namun
ternyata meskipun dengan keutamaan sebesar ini Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetap memerintahkan para sahabat untuk
mendirikan solat Hari Raya di musolla.
Ibnu
Qudamah rahimahullah di dalam al-Mughni (jilid 3, ms. 260) berkata:
Mengerjakan solat Hari Raya di musolla adalah sunnah, kerana dahulu Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar ke tanah lapang dan
meninggalkan masjidnya (iaitu Masjid Nabawi). Demikian pula parakhulafa’
al-Rasyidin. Dan ini merupakan kesepakatan kaum muslimim. Mereka telah
sepakat pada setiap zaman dan tempat untuk keluar ke tanah lapang ketika solat
Hari Raya. -
Penulis nukil dari artikel bertajukBimbingan Berhari Raya Idul Fithri yang disusun oleh Abu Sulaiman Aris S,
ms. 40.
Tentang
hikmah diselenggarakan solat Hari Raya di musolla,
Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata:
Sesungguhnya mengerjakan
dua solat Hari Raya di tanah lapang (musolla) memiliki hikmah yang besar.
Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidaknya boleh berkumpul bersama
dua kali selama setahun. Semua orang dari penjuru negeri berkumpul di sebuah
tempat, baik lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Mereka semua menghadap
Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat
(kalimat tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan
penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan
mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan demikian,
Hari Raya benar-benar memiliki erti yang agung bagi mereka. - Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’
al-Musholliin, (edisi terjemahan dengan tajuk Koreksi Total Ritual Solat,
Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms. 394.
Menurut
Syaikh Wahid Abdussalam pula:
a.
Berkumpulnya kaum muslimin di satu
tempat untuk menampakkan kejayaan kaum muslimin.
b.
Berkumpulnya kaum muslimin di tempat
terbuka yang terlihat awal dan akhirnya disertai takbir dantahlil, dapat menguatkan
keimanan dan memantapkan keyakinan.
c.
Keluarnya kaum muslimin di satu
tempat, dewasa dan kanak-kanak, laki-laki dan perempuan, adalah salah satu
fenomena kegembiraan pada Hari Raya.
d.
Tercerai-berainya kaum muslimin di
beberapa masjid pada hari yang diberkahi ini menyebabkan perselisihan hati dan
tercerai-berainya kalimat.
e.
Kaum muslimin memakai pakaian baru dan
berkumpul di satu tempat dengan bertakbir, bertahlil, solat dan
mendengarkan nasihat (khutbah), adalah salah satu bentuk rasa syukur kepada
Allah, Rabb semesta Alam yang berfirman
وَلِتُكْمِلُوا
الْعِدَّةَ وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ
تَشْكُرُونَ
Maksudnya:
Dan
juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu
membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya
kamu bersyukur. - al-Baqarah (2) : 185
f.
Berkumpulnya kaum muslimim di dalam
pemandangan yang disegani ini dapat menggentarkan para musuh agama dan membuat
marah kaum kafir. - Syaikh Wahid Abdussalam Bali, Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’
asy-Sya’iah, ms. 298-299.
Namun begitu janganlah disebabkan di Malaysia solat
Hari Raya tidak dilaksanakan di musolla maka ada yang beranggapan tidak perlu
untuk menunaikan solat tersebut kerana menghindari amalan bid’ah. Menunaikan
solat Hari Raya di masjid telah dibenarkan oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah sekiranya masjid tersebut mampu
menampung seluruh penduduk di daerah tersebut. Imam al-Syafi’i berkata:
Jika sesebuah
masjid di dalam sebuah daerah dapat menampung seluruh penduduk, maka menurut
saya mereka tidak perlu lagi pergi ke tanah lapang (untuk mengerjakan solat
Hari Raya). Tetapi jika tidak dapat menampung seluruh penduduk, maka tidak
dianjurkan melakukan solat ‘Ied di dalamnya. -
Dinukil daripada Fathul Baari,
jilid 5, ms. 283.
Dari fatwa Imam al-Syafi’i ini maka
al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqalani rahimahullah telah membuat kesimpulan seperti
berikut:
Dari sini dapat
disimpulkan, bahawa permasalahan ini sangat bergantung kepada luas atau
sempitnya sesuatu tempat, kerana diharapkan pada Hari Raya itu seluruh
masyarakat dapat berkumpul di suatu tempat. Oleh kerana itu, jika hal itu dapat
dilakukan di dalam masjid, maka melakukan solat Hari Raya di dalam masjid lebih
utama dari di tanah lapang. - al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 5, ms. 283.
Apapun jua
bagi penulis mencontohi Rasulullah shallallahu
‘alaihi wasallam adalah lebih
utama kerana hadis-hadis baginda bersifat umum tanpa meletakkan sebarang syarat
berkaitan keluasan atau kesempitan sesebuah masjid dalam menentukan tempat
untuk dilaksanakan solat Hari Raya. Wallahu a’lam.
Oleh itu
sewajarnya umat Islam di Malaysia berusaha untuk mengembalikan pengamalan
sunnah Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam yang semakin
dipinggirkan ini. Alangkah indahnya sekiranya seluruh kepimpinan tertinggi di Malaysia
melaksanakan solat Aidilfitri dan Aidiladha bersama rakyat jelata di
tanah-tanah lapang di daerah masing-masing.
v TATACARA
SOLAT HARI RAYA
q Waktu
Mengerjakan Solat Hari Raya.
Waktu untuk mengerjakan solat Hari Raya
adalah setelah terbitnya matahari setinggi tombak sehingga tergelincirnya
matahari iaitu waktu dhuha.
Disunnahkan untuk dilewatkan solat Aidilfitri agar memberikan kesempatan mereka
yang belum menunaikan zakat fitrah untuk menyempurnakannya. Manakala bagi solat
Aidiladha disunnahkan untuk mempercepatkannya bagi memudahkan untuk menguruskan
penyembelihan haiwan korban setelah solat tersebut.
q Tiada
Solat Sunat sebelum Dan Sesudah Solat Hari Raya.
أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى
رَكْعَتَيْنِ لَمْ يُصَلِّ قَبْلَهَا وَلاَ بَعْدَهَا.
Maksudnya:
Daripada
Ibnu ‘Abbas bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada
Hari Raya al-Fithri kemudian solat dua rakaat dan tidak solat sebelumnya dan
tidak pula sesudahnya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 989.
Namun di
Malaysia ini solat Hari Raya dikerjakan di masjid-masjid. Maka perlu untuk
dilaksanakan solat Tahiyyatul
Masjid kerana secara umumnya
setiap kali seseorang masuk ke dalam masjid adalah disyari’atkan untuk
dikerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyyatul
Masjid.
q Tiada Seruan Azan atau Iqamah.
Tidak ada
azan atau iqamah mahupun apa-apa ucapan sebelum solat Hari Raya. Dari Ibnu
‘Abbas radhiallahu’ anh:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى الْعِيدَ بِلاَ أَذَانٍ وَلاَ إِقَامَةٍ.
Maksudnya:
Bahawa
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat Hari Raya tanpa azan
dan tanpa iqamah. - Hadis
riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 968.
Apa yang
jelas baginda shallallahu
‘alaihi wasallam setibanya di musolla lalu terus mendirikan solat Hari Raya.
Ini sebagaimana disampaikan oleh Abu Sa’id al-Khudri, dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالأَضْحَى إِلَى
الْمُصَلَّى.
فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ
الصَّلاَةُ.
Maksudnya:
Pada
hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar
menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.
Menurut Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mendirikan solat dua rakaat dahulu
sebelum khutbah, tanpa ada ucapan al-sholatu
jami’ah. Apa yang benar menurut al-Sunnah adalah tanpa ucapan itu. Baginda dan
para sahabat tidak ada yang mengerjakan solat sebelum mahupun sesudah solat ‘Ied. - Ibnu Qayyim al-Jauziyyah,Zaadul Ma’ad,
ms. 48.
q Tiada Laungan al-Sholatu Jami’ah.
Melaungkan al-Sholatu Jami’ah sebelum memulakan solat Hari Raya
merupakan satu perbuatan yang lazimnya di amalkan di Malaysia dan inilah juga
pendapat Imam al-Syafi’i rahimahullah.
Amalan ini adalah bersandarkan kepada sebuah hadis mursal daripada al-Zuhri bahawa dia berkata:
كَانَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْمُرُ اَلْمُوءَذِّنَ فِي
الْعِدَيْنِ أَنْ يَقُوْلَ: اَلْصَّلاَةُ جَامِعَة.
Maksudnya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam
pernah memerintahkan kepada mu’adzin (tukang azan) ketika di dalam solat Hari
Raya untuk mengucapkan al-Sholatu Jami’ah.
Hadis mursal adalah hadis yang disandarkan kepada tabi’in secara langsung kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallamtanpa
menyebut nama sahabat yang meriwayatkan. Di dalam hadis di atas al-Zuhri adalah
seorang tabi’in yang menyandarkan sebuah hadis terus
kepada Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam tanpa
melalui seorang sahabat sedangkan al-Zuhri tidak pernah bertemu dengan
Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam. Hadis mursal hukumnya dha’if (lemah) dan tidak boleh dijadikan
sebagai hujah. Imam Muslim di muqaddimah kitab Shahih Muslim telah berkata:
Riwayat-riwayat yang mursal itu pada dasar perkataan kami dan
perkataan/pendapat ahli ilmu hadis, tidaklah boleh dijadikan sebagai hujah. -
Di nukil dari kitab Al
Masaa-il (masalah-masalah agama) karya
Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat, Darul Qolam, Jakarta 2004, jilid 3, ms. 291.
Oleh itu sewajarnya kita kekal hanya
dengan riwayat-riwayat yang sabit daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam iaitu dengan tidak melaungkan apa-apa
perkataan seperti al-Sholatu
Jami’ah sebelum memulakan
solat Hari Raya.
q Jumlah
Rakaat Untuk Solat Hari Raya.
Jumlah rakaat solat Hari Raya adalah dua.
Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’
anh dia berkata:
أَنَّ
النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ خَرَجَ يَوْمَ الْفِطْرِ فَصَلَّى
رَكْعَتَيْنِ...
Maksudnya:
Bahawasanya
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar pada Hari Raya al-Fithri kemudian
solat dua rakaat… - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 989.
q Takbir
Dalam Solat Hari Raya.
Oleh itu perlaksanaan solat Hari Raya ini
sama dengan tatacara perlaksanaan solat dua rakaat yang lain hanya sahaja terdapat
tambahan dua belas kali takbir di dalamnya. Pada rakaat pertama setelah Takbirat al-Ihram dan doa Iftitah serta sebelum bacaan surah al-Fatihah
disunatkan membaca takbir sebanyak tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali.
عَنْ عَائِشَةَ: أَنَّ رَسُولَ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يُكَبِّرُ فِي الْفِطْرِ
وَالْأَضْحَى
فِي الْأُولَى سَبْعَ تَكْبِيرَاتٍ
وَفِي الثَّانِيَةِ خَمْسًا ... سِوَى تَكْبِيرَتَيْ الرُّكُوعِ.
Maksudnya:
Dari
‘Aisyah, dia berkata: Bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa
bertakbir pada solat Aidilfitri dan Aidiladha, pada rakaat pertama tujuh kali
takbir dan pada rakaat kedua lima
kali takbir, selain dari dua takbir rukuk. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 970.
Tentang haruskah diangkat tangan atau
tidak ketika takbir tersebut, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan:
Tidak pernah diriwayatkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda mengangkat kedua
tangannya ketika takbir pada solat Hari Raya (takbir pada rakaat pertama yang
berjumlah tujuh kali dan pada rakaat kedua lima kali)… Namun Ibnul Mundzir berkata:
“Malik telah berkata bahawa di dalam masalah ini (iaitu angkat atau tidak
tangan ketika takbir tersebut) tidak ada sunah yang dianggap muktamad.
Barangsiapa ingin mengangkat kedua tangannya pada waktu takbir tidak mengapa.
Namun pendapat pertama (iaitu tidak mengangkat tangan) lebih aku sukai.” - Syaikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hassan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’
al-Musholliin, ms. 395-396.
Syaikh Kamal
bin al-Sayyid Salim berkata:
Dan tidak ada sesuatu pun
yang sahih bahawa Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam mengangkat
tangan ketika takbir dalam solat Hari Raya. Akan tetapi Ibnul Qayyim
menyatakan: Ibnu ‘Umar –dengan semangatnya mengikuti sunnah- beliau mengangkat
tangannya setiap kali takbir.
Saya katakan (Syaikh Kamal): Barangsiapa yang
berpendapat bahawa Ibnu ‘Umar tidak melakukannya kecuali ada contoh daripada
Rasulullah shallallahu ‘alaihi
wasallam, maka dia boleh mengangkat tangan setiap kali takbir, tetapi jika
tidak maka sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. – rujuk Abu Malik Kamal bin As-Sayyid Salim
bertajuk Shahih Fiqh as-Sunnah
wa Adillatuhu wa Taudhih Madzahib al-A’immah, jilid 1, ms. 935.
Oleh itu di
dalam hal ini bolehlah kita memilih untuk mengangkat atau tidak tangan ketika
takbir-takbir tersebut, namun yang lebih hampir kepada sunnah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam ialah dengan tidak mengangkatnya. Wallahu’alam.
q Bacaan Zikir Di Antara Takbir.
Mengenai
bacaan di antara takbir-takbir tersebut maka Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali
al-Halabi al-Atsari berkata:
Tidak ada hadis yang sahih
yang diriwayatkan daripada Nabi shallallahu
‘alaihi wasallam mengenai doa
tertentu yang dibaca di antara takbir-takbir solat Hari Raya, tetapi telah
ditetapkan dari Ibnu Mas’udradhiallahu’ anh bahawasanya dia berkata mengenai solat
Hari Raya: “Di antara dua takbir dipanjatkan pujian kepada Allah 'Azza wa Jalla sekaligus sanjungan ke atas-Nya. - Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi
al-Atsari, Ahkaam
al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah, ms. 61.
Menurut Imam
Ahmad dan Imam al-Syafi’i rahimahumallah sunat di antara dua takbir itu membaca
zikir seperti سُبْحَانَاللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَاللَّهُ أَكْبَرُ “Subhanallah,
walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar”. - Dinukil darpada kitab Fikih Sunnah, karya Syaikh
Sayyid Sabiq (edisi terjemahan oleh Mahyuddin Syaf, Victory Agencie, Kuala
Lumpur, 1990) jilid 2, ms. 286.
Pendapat
inilah yang telah dipilih oleh umat Islam di Malaysia.
q Bacaan Ayat al-Qur’an Dalam Solat
Hari Raya.
Tentang
surah-surah yang dibacakan baginda shallallahu
‘alaihi wasallam setelah
membaca al-Fatihah pada solat Hari Raya, Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah telah berkata:
Diriwayatkan secara sahih
dari bacaan pertama surah Qaf dan surah al-Qamar dan bacaan kedua surah al-A’laa dan al-Ghaasyiah,
dan hanya inilah riwayat yang sahih daripada baginda tentang bacaan itu (iaitu
pada solat Hari Raya). - Ibnu Qayyim
al-Jauziyyah, Zaadul Ma’ad,
ms. 49.
Dalil yang
dijadikan sandaran adalah seperti berikut:
عَنْ عُبَيْدِ اللَّهِ بْنِ عَبْدِ
اللَّهِ أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ سَأَلَ أَبَا وَاقِدٍ اللَّيْثِيَّ:
مَا كَانَ يَقْرَأُ بِهِ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الأَضْحَى وَالْفِطْرِ؟
فَقَالَ:كَانَ يَقْرَأُ فِيهِمَا
بِق وَالْقُرْآنِ الْمَجِيدِ وَاقْتَرَبَتْ السَّاعَةُ وَانْشَقَّ الْقَمَرُ
Daripada
‘Ubaidillah bin ‘Abdullah bin ‘Utbah, bahawasanya ‘Umar bin al-Khatthab pernah
bertanya kepada Abu Waqid al-Laitsi: Apa yang biasa dibaca oleh Rasulullah
shallallahu ‘alaihi wasallam pada Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri? Dia
menjawab:
Pada
Hari Raya tersebut baginda membaca surah Qaaf wal quraanil majeed dan
Iqtarabatis saa’atu wanshaqqal qamar. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedain, no: 891.
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ
قَالَ: كَانَ
رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الْعِيدَيْنِ
وَفِي الْجُمُعَةِ
بِسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى
وَهَلْ أَتَاكَ حَدِيثُ الْغَاشِيَةِ.
قَالَ: وَإِذَا اجْتَمَعَ الْعِيدُ
وَالْجُمُعَةُ فِي يَوْمٍ وَاحِدٍ يَقْرَأُ بِهِمَا أَيْضًا.
Daripada
Nu’man bin Basyir radhiallahu’ anh, dia berkata Rasulullah biasa membaca pada
solat Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha serta solat Jumaat Sabbihisma rabbikal
a’laa dan Hal ataaka hadiitsul ghaasyiyah. Dia berkata: Jika Hari Raya
bertepatan dengan hari Jumaat dibacakan kedua surah tersebut pada kedua solat
tersebut. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 878.
q Mengqadha
Solat Hari Raya.
Apabila seseorang tidak dapat menyertai
solat Hari Raya bersama secara berjemaah maka hendaklah dia solat dua rakaat
secara sendiri. Di dalam Shahih
al-Bukhari terdapat sebuah
riwayat dari Atha’ bahawa dia berkata:
وَقَالَ
عَطَاءٌ: إِذَا فَاتَهُ الْعِيْدُ صَلَّى رَكَعَتَيْنِ.
Maksudnya:
Jika
seseorang terlewatkan (dan tidak dapat menunaikan) solat Hari Raya, maka
hendaklah dia solat dua rakaat. - Hadis
riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, Bab Apabila Seseorang Tidak Mendapatkan
Solat Hari Raya, Maka Hendaklah Dia Melaksanakan Solat Dua Rakaat.
Menurut Syaikh Muhammad at-Tuwaijiri:
Sesiapa yang ketika ingin bersolat Hari Raya mendapati imam
sebelum salam maka harus menyempurnakan sendiri solatnya sesuai dengan sifat
solat Hari Raya. Dan orang yang tertinggal solat Hari Raya maka hendaklah dia
mengqadhanya sesuai dengan sifat solat Hari Raya. – Syaikh Muhammad bin Ibrahim
at-Tuwaijiri, Mukhtasar
al-Fiqh al-Islami, ms. 720.
q Ringkasan
tatacara mengerjakan solat Hari Raya.
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk
mengerjakan solat Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Takbir
Tujuh kali dan diselangi membaca zikir seperti سُبْحَانَ
اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ“Subhanallah,
walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar” sebanyak enam kali
5) Membaca surah al-Fatihah
6) Membaca Surah al-Qur’an
7) Rukuk
8) Iktidal
9) Sujud
10) Duduk antara dua sujud
11) Sujud kali kedua
12) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Takbir Lima kali dan diselangi membaca
zikir seperti سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ
وَاللَّهُ أَكْبَرُ“Subhanallah,
walhamdulillah,wa la ilaha illallah, wallahu akbar” sebanyak empat kali
2) Membaca surah al-Fatihah
3) Membaca Surah al-Qur’an
4) Rukuk
5) Iktidal
6) Sujud
7) Duduk antara dua sujud
8) Sujud kali kedua
9) Duduk untuk tahiyyat akhir
10) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
q Khutbah
Hari Raya.
Adalah disunnahkan untuk dilaksanakan
khutbah sesudah mengerjakan solat Hari Raya. Dari Abu Sa’id al-Khudri, dia
berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَخْرُجُ يَوْمَ الْفِطْرِ وَالْأَضْحَى إِلَى
الْمُصَلَّى
فَأَوَّلُ شَيْءٍ يَبْدَأُ بِهِ
الصَّلَاةُ ثُمَّ يَنْصَرِفُ فَيَقُومُ مُقَابِلَ النَّاسِ وَالنَّاسُ جُلُوسٌ
عَلَى صُفُوفِهِمْ
فَيَعِظُهُمْ وَيُوصِيهِمْ
وَيَأْمُرُهُمْ.
Maksudnya:
Pada
hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keluar
menuju musolla. Ketika itu yang pertama baginda lakukan adalah solat Hari Raya.
Kemudian baginda berpusing dan menghadap jamaah yang sedang duduk di shaf-shaf
mereka. Kemudian baginda memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-‘Iedaini, no: 956.
Khutbah
Hari Raya berbeza dengan khutbah Jumaat kerana ianya tidak dibahagikan menjadi
dua khutbah dan khatib tidak perlu duduk di antara dua khutbah tersebut. Imam
al-Nawawi rahimahullah telah berkata:
Apa yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud bahawa dia mengatakan:
“Disunnahkan berkhutbah pada Hari Raya dengan dua khutbah yang keduanya
dipisahkan dengan duduk adalah dhai’f (lemah) lagi tidak bersambung. Tidak
ada satu riwayat sahih pun yang menyebutkan dua khutbah. - Dinukil dari kitab Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’
asy-Sya’iah, karya Syaikh Wahid Abdussalam Bali, ms. 424.
Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi al-Atsari berkata:
Dan tidak ada satu hadis pun
yang diriwayatkan secara sahih yang menyebutkan bahawa khutbah Hari Raya itu
terdiri dari dua khutbah, yang dipisahkan antara keduanya dengan duduk.. - Syaikh ‘Ali Hassan bin ‘Ali al-Halabi
al-Atsari, Ahkaam
al-‘Iedain fis Sunnah al-Muthaharah, ms. 73.
شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِيدَ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ
قَالَ: إِنَّا نَخْطُبُ فَمَنْ
أَحَبَّ أَنْ يَجْلِسَ لِلْخُطْبَةِ فَلْيَجْلِسْ. وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَذْهَبَ
فَلْيَذْهَبْ.
Aku
pernah menghadiri solat Hari Raya bersama Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan
ketika selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah,
barangsiapa ingin duduk untuk mendengarkan khutbah maka dipersilakan. Dan
barangsiapa yang ingin pergi, maka dipersilakan untuk pergi. - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 975.
No comments:
Post a Comment