KANGAR 11 Feb. - Seorang pengawal keselamatan terkejut apabila menjumpai senaskhah al-Quran yang masih berada dalam keadaan baik walaupun semua barangan di sebuah bilik musnah dalam kebakaran di Taman Seroja di sini awal pagi ini.
Hakimi Harun, 49, berkata, dia hanya menyedari kejadian itu selepas memeriksa sebuah bilik tingkat atas rumahnya yang terbakar awal pagi ini.
''Pada mulanya saya bersama isteri, Rasila Saad ke tingkat atas rumah untuk mencari kemungkinan ada barangan yang boleh digunakan selepas terbakar.
"Kami menjumpai senaskhah al-Quran yang tidak musnah dalam kebakaran itu sedangkan semua buku dan peralatan lain di bilik yang sama musnah sama sekali," katanya di sini hari ini.
Hakimi percaya kejadian itu merupakan tanda keagungan Allah SWT yang ditunjukkan terhadap kitab suci umat Islam.
SuBBAHANALLAH...
Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (Al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu) dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng) dari apa yang telah datang kepadamu dari kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing) dan kalau Allah menghendaki nescaya Dia menjadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
Wallahualam.
No comments:
Post a Comment